BERTUBUH tinggi lampai, Nicole Tan, 25, memilih untuk bergelar blogger sepenuh masa, meskipun dia merupakan graduan dari University of South Australia dalam jurusan pengurusan komunikasi.
Pilihan untuk menjadi blogger bukandisebabkan dia tidak mendapat tawaran kerja sebelum ini. Sebaliknya, dia terlalu meminati dunia pelancongan sehingga Nicole merasakan pada usia muda sebegini, dia mempunyai peluang yang lebih luas untuk menjelajah dunia.
Blog miliknya yang sudah berusia tiga tahun itu banyak menceritakan tentang pelbagai fakta menarik sepanjang kunjungannya. Tidak kira sama ada pengalaman suka atau duka.
Perkongsian perjalanan bercuti itu telah disematkan di ruang blognya di alamat http://nicolekiss.blogspot.com.
"Sehingga kini, saya sudah menjelajah ke lebih 30 buah negara. Manakala destinasi dalam negara pula, kesemuanya sudah dikunjungi. Minat saya untuk melawat negara luar bermula sejak berusia 20 tahun lagi.
"Lagipun, ia merupakan hobi dan pekerjaan yang cukup menggembirakan. Cuma yang paling penting, seseorang itu perlu kuat semangat dan tidak terlalu cerewet. Barulah perjalanan percutian akan lancar," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Antara negara yang telah dikunjunginya adalah New Zealand, Australia, Vietnam, Laos, Singapura, Thailand, Hong Kong, Indonesia dan China.
Sepanjang menjadi penulis blog sepenuh masa, Nicole telah memanfaatkan kesemua pengalamannya berdasarkan apa yang telah dilaluinya dalam pengembaraan tersebut.
"Saya akan tulis apa sahaja pengalaman yang berlaku sepanjang percutian. Ini kerana pengalaman tidak perlu disorok, malah pembaca boleh tahu apa yang perlu mereka lakukan dan elaksepanjang berada di negara orang," ungkapnya.
Komited
Berbalik kepada penubuhan blognya, Nicole berpendapat, seseorang itu akan mendapat pulangan lumayan sekiranya mereka benar-benar komited untuk memajukan blog persendirian.
Ini kerana blogger akan mendapat tajaan pengiklanan daripada syarikat-syarikat. Namun, harus diingat bahawa ia tidaklah semudah yang disangka.
|
|
"Blog ini mestilah bukan sekadar menarik, tetapi apa yang lebih penting, ia menjadi kegilaan orang ramai untuk sentiasa mengikuti setiap perkembangan yang dipaparkan," ujarnya.
Akui Nicole lagi, keputusan untuk berkecimpung dalam dunia penulisan blog secara serius bukan kerana untuk meraih keuntungan semata-mata. Sebaliknya, tajaan pengiklanan yang tertera di ruang blog itu dianggap sebagai penghargaan dan kekuatan untuknya meneruskan lagi minat.
"Apabila blog anda sentiasa diikuti dan menjadi perhatian para pengiklan, anda akan terdorong untuk menambah lebih banyak maklumat.
"Dalam situasi ini, saya memang memerlukan lebih banyak kunjungan ke negara luar. Jadi, ia agak mencabar," jelasnya sambil tersenyum manis.
Kamera sebagai teman
Memiliki perwatakan lemah lembut, penulis hampir tidak percaya apabila Nicole memberitahu bahawa dia kerap melancong sendirian. Dengan cukup yakin, Nicole memilih untuk melancong tanpa teman kerana katanya, ia akan memudahkan kerja.
Kebiasaannya, dia akan berkunjung ke sesebuah negara dalam tempoh yang lama iaitu sehingga lima minggu. Jadi, agak sukar untuknya membawa teman melancong bersama.
"Susah sebenarnya ingin bawa teman sebab saya bukan sahaja pergi melancong untuk suka-suka. Saya akan cuba masuk ke kampung-kampung kecil untuk melihat gaya hidup masyarakat di sana.
"Lagipun, kalau bawa teman, mereka mungkin tidak mahu ikut jika tahu jadual saya yang padat dan mencabar. Biasanya, saya hanya akan menghubungi kawan yang tinggal di negara saya lawati," ulasnya lagi.
Rancak bercerita, Nicole yang merupakan anak kedua daripada dua beradik tidak akan terlepas untuk membawa kamera Canon 500 D setiap kali ingin melancong. Kamera tersebut cukup serasi dengan jiwanya.
Penggunaan kamera tersebut bukan sahaja menyerlahkan gaya, malah secara teknikalnya, ia cukup mudah digunakan. Selain itu, pastinya kualiti gambar menjadi sandaran utama kenapa Nicole memilih Canon 500 D dipilih.
Blog yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya itu turut menyediakan tip atau informasi yang boleh dipelajari. Misalnya, cara penyuntingan gambar agar kelihatan lebih cantik.
Biasanya, Nicole akan memperuntukan kira-kira tiga jam untuk sesi penyuntingan dan mengemaskini blog.
"Dua atau tiga hari sekali, saya akan memantau blog. Sama ada berjumpa rakan di ruang sembang atau menambah maklumat atau gambar. Saya lebih suka melampirkan gambar dan bercerita mengenai pengalaman sepanjang percutian," jelasnya yang turut meminati bidang fotografi.
No comments:
Post a Comment